Lelaki Maut Minum Cuka Getah
Selasa, 27 April 2021
Add Comment
Seorang lelaki maut selepas minum cuka getah. Tindakan tersebut dilakukan di hadapan isteri mangsa, Amalina Jaafar 39 tahun. Menurut Amalina, suaminya sedang marahkan sesuatu tetapi dia tidak mengetahui akan punca sebenarnya.
Kemudian suaminya, Fitri Ahmad,40 tahun itu pergi ke ruang dapur kedai makan miliknya lalu mengambil cuka getah kemudian terus meminumnya. Akibat daripada perbuatan itu, mulut suaminya berbuih-buih dan terus menggelupur di lantai.
Dia dengan jelas mendengar erangan kesakitan suaminya itu dan cuba untuk selamatkan tetapi malangnya tidak dapat berbuat apa-apa. Akhirnya suaminya itu mati dalam keadaan sedemikian.
Dia terus menghubungi pihak polis bagi melaporkan kejadian tersebut. Kes itu kemudian disiasat dan diklafikasikan sebagai kes bunuh diri. Amalina tidak menyangka suaminya sanggup bertindak begitu di hadapan matanya sendiri.
Amalina turut memberitahu bahawa, pada ketika kejadian dia ada terhidu bau kemeyan yang entah dari mana datangnya. Tidak berapa lama kemudian dia ternampak kelibat di ceruk dapur kedai makannya yang ketika itu tidak beroperasi.
Setelah kematian Fitri, penduduk sekitar situ sering ternampak arwah pada waktu malam. Amalina juga selalu bermimpi didatangi arwah Fitri.
Dalam mimpi tersebut Fitri datang dalam keadaan yang mengerikan, mukanya buruk, tengkuknya berlendir dan berulat. Bahagian dada pula robek nampak segala isi dalamnya.
Keadaan tersebut berlarutan selama beberapa minggu. Amalina juga tidak meneruskan perniagaannya kerana terdapat gangguan di rumah kedainya. Lagi pula dia masih sedih dengan kematian suaminya yang tragis begitu.
Katanya, setiap malam akan terdengar bunyi berantakan di bahagian dapur dan apabila dilihat pada siang hari, memang betul semuanya tunggang terbalik seolah-olah sengaja disepahkan. Dia cukup penat untuk mengemaskan semula.
Dia yang tinggal seorang diri di rumah kedai itu sudah tidak tahan lagi dengan gangguan tersebut. Lalu setelah mendapat nasihat dari rakannya, maka dia cuba untuk meminta bantuan dari orang yang pakar dalam hal ini.
Walau bagaimanapun tetap tidak berhasil dan menemui jalan buntu. Dia tidak tahu mahu berbuat apa lagi, kerana jiwanya semakin tertekan dan penduduk pula diganggu roh Fitri. Amalina menjangkakan ada sesuatu yang tidak beres.
Jadi dia mendapat tahu akan satu orang ini yang katanya pandai bab mata batin, jadi dia cuba menghubungi orang tersebut.
Orang yang Amalina bertemu sebelum ni rata-rata mahukan pengeras yang tinggi, tetapi tidak orang ini yang katanya mahu selesaikan urusan tersebut terlebih dahulu. Soal pengeras bukan menjadi keutamaan.
Seterusnya lelaki berkenaan yang bernama Awang Fateh Awang Ilah datang ke rumah itu lalu membaca beberapa potong ayat maka terasa bergegar tempat itu.
Amalina terkejut dengan keadaan tersebut. Dia yang ditemani rakan sebayanya, Saidah turut berasa yang sama.
Lalu Awang Fateh berkata bahawa ada jin jahat telah tinggal di sini dan ia menjadi belaan Fitri tanpa pengetahuan Amalina.
Tujuannya adalah untuk melariskan kedai dan untuk menjaga keluarganya. Dan memang benar, kedai makan Amalina memang laris, tetapi sejak akhir-akhir itu sebelum kematian Fitri, pretasi kedainya jatuh merudum.
Pekerja asyik buat hal malah sering bertengkar. Ada yang berhenti dan terpaksa bersusah payah cari orang lain pula. Ia menjadi hal yang sulit.
Kadang-kadang Amalina sakit kepala memikirkannya. Tapi dia tidak mahu bertelagah dengan suaminya tetapi sebaliknya keadaan suaminya semakin pelik dan selalu bercakap sendiri serta sering marah-marah.
Awang Fateh memberitahu lagi, terdapat perjanjian yang diingkari Fitri sehingga memakan dirinya. Lalu Amalina bertanya apakah ia lantas Awang Fateh menyatakan bahawa jin tersebut mahu meniduri Amalina dan inginkan nyawa Amalina.
Jika ia tidak berlaku, maka nyawa Fitri akan menjadi taruhan. Kemudian Awang Fateh berkata lagi, ada individu lain juga yang menambah kekacauan ini. Terkejut Amalina mendengarnya. Siapa?
Tanpa berlengah dan dengan kehebatan serta kepandaian yang dimiliki Awang Fateh maka dia pun menangkap jin tersebut biarpun pada awalnya agak sukar namun sedaya upaya dia berusaha sehingga jin tersebut akhirnya tewas.
Akan tetapi, tanpa diduga Saidah tiba-tiba memuntahkan darah dan menggelupur di lantai rumah kedai itu maka fahamlah Amalina bahawa Saidah adalah individu yang dimaksudkan oleh Awang Fateh.
Tujuan Saidah cuma satu, dengki dengan kebahagiaan yang dimiliki Amalina kerana hatinya mencintai Fitri. Gara-gara itu, dia menaburkan kebencian itu pada sebuah kematian.
Saidah mendapat balasan setimpal, menjadi lumpuh seluruhnya. Amalina tidak menyangka kawannya menjadi lawan yang selama ini berpura-pura dan Saidah jugalah yang mencadangkan kepada Fitri supaya memakai pelaris. Berkali-kali Saidah memohon maaf, namun hati Amalina terasa pedih.
Semenjak terbongkarnya rahsia itu, tiada lagi gangguan tersebut. Amalina pula memulakan kehidupannya meskipun hatinya rapuh, tetapi dia cuba cekal dan kuatkan semangat.
Tiada jalan mudah untuk berjaya dalam dunia perniagaaan. Jangan pernah cuba untuk mendapatkan khidmat jin bagi melariskan jualan kelak memakan diri. Kerana jin-jin jahat penuh dengan tipu daya dan helah. Sekian.
Ditulis oleh: Rashid Salim.
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK
0 Komentar untuk "Lelaki Maut Minum Cuka Getah"
Catat Ulasan