Hantu Pelesit Tunggang Belalang


Tadi pagi saya ada minta satu gambar ni dengan seorang penulis, Tuan Mohammad Kholid. Beliau merupakan seorang penulis buku. Alang-alang saya nampak gambar belalang dalam Facebook beliau, jadi saya pun minta izin nak masukkan dalam blog ni sebagai entri saya kali ini mengenai pelesit.

Saya nak bercerita mengenai perihal pelesit ini. Sedang saya menyunting gambar belalang tersebut, tiba-tiba saya menerima panggilan telefon daripada kawan saya yang merupakan salah seorang perawat alternatif perubatan Islam. Katanya nak datang ziarah. Terkejut jugalah saya, kan tiba-tiba dia nak datang rumah saya pagi ni. Saya namakan dia N sahaja ya.

Katanya dah sampai di hadapan rumah. Maka bertangguhlah saya untuk menulis entri mengenai pelesit ni. Beliau pun tiba di hadapan rumah saya. Jadi saya pun menyambutnya maka kami pun lepak sekejap di depan rumah bertanya khabar.

Keberadaan dia di sini seperti sudah ditakdirkan kerana saya memang nak update mengenai kisah pelesit jadi saya sempat bertanya kepadanya secara terus akan apa yang dia tahu mengenainya. Saya tanya dia, "Apa sebenarnya hantu pelesit ni?"

Menurutnya, Pelesit ni betina matanya merah, kalau hantu raya itu jantan biasa orang lelaki yang bela. Manakala pelesit ni belaan orang perempuan. Pelesit ni jelmaan perempuan sangat tua hodoh. Itulah dia katakan.

Saya tak sempat tanya banyak kepadanya, hanya beberapa soalan sahaja. Saya tanya lagi, "Pernah nampak ke?" Lalu jawabnya pernah. Untunglah dia pernah nampak. Tapi itulah saya hanya tahu serba sedikit, itu pun melalui pembacaan saya. Cuma... saya keliru sedikit.

"Aku nak tahu, macam mana nak bezakan belalang tu belalang pelesit ke tak?"

"Belalang bukan pelesit." Katanya. Eh? Habis tu yang orang kata belalang tu adalah pelesit? Menurutnya, kebiasaannya orang sebut belalang pelesit tu kerana pelesit tu tumpang belalang tersebut. Dan belalang tirus yang selalunya menjadi tunggangan si pelesit itu.

Ya tak ya jugalah kan. Kalau semua belalang itu adalah pelesit, aniayalah habis orang pergi membunuhnya sebab sangka itu adalah pelesit. "Habis tu bagaimana nak bezakan itu belalang pelesit atau tak?" Soal saya. Kerana hal ini agak sulit untuk dikesan kerana ada sesetengah orang mengatakan cabut kepalanya baru tahu itu pelesit atau tak.

"Kasihanlah belalang tu jadi mangsa keadaan. Kalau itu bukan pelesit tak pasal mati tercabut kepala." Jawabnya sambil nada berseloroh.

"Sebab ada yang mengatakan bila tanggalkan (cabut) kepalanya dari badan dan kalau terdapat juraian rambut maka itu adalah pelesit."

"Bagaimana kalau tak ada? Kasihanlah belalang tu. Normally semua belalang ada abdomennya la, kalau kau cabut kepalanya maka tercabut sekalilah ditarik keluar bahagian perut ususnya yang halus tu. Semua belalang ada. Kalau yang tak ada itulah yang pelik. Kau cabut-cabut je kosong. Itu bagi aku lagi pelik."

"Maksud aku juraian rambut..." Beritahu saya.

"Kalau kau cabut kepalanya sekali pun benda tu takkan mati. Benda tu kalau masuk dalam rumah dan katakan orang nak hantar santau ke atau sihir pemisah ke, kau nak tilik-tilik dulu ke?" Soal N pulak. Saya terfikir sejenak.

"Habis tu macam mana?" Saya dah mula bingung mengenangkan keadaan yang cuba N sampaikan.

"Pelesit ni cuma tumpang je dekat belalang tu. Bukan pelesit tu menjadi belalang, ibarat ia menunggang belalang tu untuk masuk ke dalam sesebuah rumah tanpa dikesan. Memang benda ni gemar tumpang belalang dan ada je dia tumpang benda lain. Tapi kebanyakannya adalah belalang tirus dan menjalankan misinya. Kadang benda ni suka juga bertindak tanpa arahan," beritahu N.

"Dari tadi aku nak tahu, kalau nampak belalang tu, macam mana nak tahu itu pelesit ke tak?" Soal aku sekali lagi.

"Benda-benda halus ni ada energinya. Aura dia memang lain macam. Ia akan terefeksi dengan persekitaran kita. Kalau benda tu hadir, kau sendiri akan rasa meremang. Kalau kau berhadapan dengan belalang tu macam tak ada apa, pelesit tak ada dekat belalang tu. Kalau kau cabut juga kepala belalang tu, mati sia-sia sahaja belalang tu..." ujar N.

"Kalau itu adalah pelesit dan ada auranya, macam mana nak buat?"

"Bunuh sahaja belalang itu, tapi elak dari menyentuhnya. Bunuh dengan menggunakan benda lain supaya mengelakkan jin yang menumpang belalang tu mengalir masuk ke tubuh. Selepas dah bunuh tu, sapu keluarkan dari rumah. Jangan biarkan ia berada dalam rumah. Itu sahaja. Kemudian patahkanlah dengan amalkan doa-doa mematikan sihir dengan Surah Yunus (Ayat 81-82)." beritahu N. Sama seperti apa yang Kamal sarankan kepada aku sebelum ni. Amalkan surah Yunus itu seperti entri aku yang sebelum ini : Sihir melalui duit syiling.

Pesan N lagi, tidak perlulah nak uji-uji sama ada itu merupakan belalang atau pelesit dengan cuba-cuba mencabut kepalanya dengan tangan. Dibuatnya itu kalau betul-betul pelesit nanti susah pula nak kena berubat pulak. Kalau sudah meremang dan merasakan sesuatu yang aneh. Bunuh sahaja.

Menurut N lagi, tiada fakta khusus mengenai pelesit ni, jadi elakkan dari nak pegang-pegang belalang tu. Kalau dah curiga sangat, bunuh sahaja. Bimbang nanti mendatangkan mudarat. Sebab biasanya belalang ni tempatnya di padang dan semak, kalau ia berada di dalam rumah itu sudah sesuatu yang pelik.

Jadi perbualan saya dengan N tamat di situ sahaja. Dia pun dapat panggilan kecemasan dan terus bergerak pergi. Mungkin ada orang yang perlukan bantuannya. Sebab tadi sebelum kami bercerita tentang hal pelesit katanya semalam pun dia pergi merawat orang yang terkena gangguan.

Saya pun terfikir juga, bukan ke syaitan sudah dibelenggu di bulan puasa ni? Oh kemudian saya teringat balik kata seorang ilmuwan, yang dibelenggu hanyalah syaitan tetapi bukanlah jin, Wallahu a’lam.

Sekian terima kasih kepada semua pembaca. Insya-Allah, berjumpa lagi di entri yang akan datang.

Rashid Salim
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK

0 Komentar untuk "Hantu Pelesit Tunggang Belalang"

Catat Ulasan

Iklan Atas Artikel

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 1

IKLAN

Iklan Tengah Artikel 2

IKLAN

Iklan Bawah Artikel

LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK