Gadis Tikam Rakan Sebilik
Rabu, 28 April 2021
Add Comment
Seorang wanita yang mahu dikenali sebagai Masya (bukan nama sebenar) menceritakan pengalaman yang dilaluinya bersama rakannya 20 tahun lalu.
Detik-detik cemas itu membuatkan dia sehingga ke hari ini masih terbayang-bayang akan apa yang telah berlaku dan menjadi satu mimpi ngeri yang menakutkan di dalam hidupnya.
Masya yang ketika itu berusia belasan tahun hanya bekerja sebagai jurujual di sebuah superstore dalam sebuah bandar. Pada suatu hari Masya dan bersama rakan-rakan sekerja yang lain sedang mencari rumah sewa.
Kebetulan pula pada waktu itu pekerja lelaki memberitahu kepadanya bahawa terdapat rumah sewa yang mereka duduk tu telah kosong kerana masing-masing sudah pindah, jadi rumah itu boleh disewakan pula oleh Masya dan rakan-rakan.
Ibarat orang mengantuk disorong bantal maka Masya dan lima lagi rakan-rakannya bersetuju untuk menyewa di rumah berkenaan. Rumah itu merupakan kawasan rumah kedai.
Penghuni di kawasan itu majoritinya adalah berbangsa Cina. Menurut Masya, keadaan sekitar kawasan itu pada waktu malam agak menyeramkan tapi demi mendapatkan rumah sewa dan tinggal bersama rakan-rakan maka di situlah menjadi tempat tinggal.
Katanya lagi, tandas dan bilik mandinya pula berada di bahagian luar belakang rumah kedai itu. Mereka pula tinggal di tingkat atas. Apabila hendak buang air atau mandi, maka mereka terpaksa turun ke bawah.
Mereka berada di kawasan rumah lama yang tandasnya terletak di luar rumah. Baru sahaja tinggal beberapa hari, seorang daripada mereka berkata, rumah ni macam tak beres sahaja macam ada hantu. Masya jadi cuak mendengar kawan tu berkawan macam tu dan keesokannya kawannya itu pindah. Tinggal mereka lima orang.
Masya bertanya kepada mereka ada apa-apa yang tak kena ke dengan rumah ni? Lalu salah seorang berkata, "Depan rumah sewa kita ni dah la ada tempat tinggalan sembahan tokong tu, seram pulak aku tengok," maksudnya tempat sembahan Cina yang telah lama tidak digunakan. Kalau dilihat memang agak menyeramkan tambah lagi bila tiba waktu malam.
Mereka bertahan tinggal di situ, dan kalau nak diikutkan memang tidak selesa kerana bunyi bising dengan jiran-jiran yang mabuk, tapi mereka tak kacau orang dan masing-masing buat hal sendiri.
Pernah Masya merungut hendak pergi dari situ, tapi aunty yang tinggal di tingkat bawah tu cakap "Haiya amoi, lu jangan cabut itu macam, banyak susah nanti." katanya. Sehinggalah seorang lagi memberitahu nak balik duduk dengan kelurganya. Maka tinggallah mereka berempat.
Memang rasa kurang selesa sangat tinggal di situ kerana setiap kali hendak pergi ke tandas mesti mahu berteman. Aida, sebelum angkat kaki untuk tinggal bersama keluarganya semula ada memberitahu Masya bahawa dia ternampak kelibat amoi depan pintu tandas.
Katanya hanya melihat sekilas pandang kemudian menghilang. Meremang seluruh tubuh jadinya. Sebab itu dia takut dan tak nak tinggal di situ lagi.
Sehinggalah pada suatu hari bila tiba musim perayaan Tahun Baru Cina, dua orang daripada mereka tiba-tiba cuti balik kampung maka tinggallah Masya dengan Shikin berdua di rumah sewa itu.
Pada malam tersebut mereka tidak ambil kerja lebih masa, jadi mereka balik awal kerana sudah penat seharian bekerja kerana ramai pelanggan berbelanja sakan sempena cuti perayaan.
Apabila malam tiba, Masya terdengar bunyi orang mandi di bilik air luar tu. Lama betul mandinya. Masya nak guna bilik air tu sebab dia nak membasuh pakaian.
Memang tak seronoklah bila tandas di luar tu berkongsi ramai-ramai dengan penyewa lain. Tapi nak buat macam mana, kena hadap juga.
Shikin pun memberitahu Masya yang bunyi orang mandi sudah tak ada kerana siraman air sudah tidak kedengaran. Tapi Masya pun jawab, "Tapi air paip masih buka lagi tu."
"Dia lupa nak tutup kut..." Balas Shikin. Kalau lupa nak tutup, lebih baik Masya pergi membasuh. Lalu dia pun pergi seorang diri dan sementara itu Shikin berada di dalam bilik.
Sebaik sahaja tiba di tandas itu, memang air paip tidak ditutup. Masya membebel seorang diri, sudahlah mandi, tak tutup air pulak tapi tiba-tiba Masya tersedar....
Dia pun memandang keadaan rumah-rumah ada yang dekat kawasan situ. Rata-rata sepi dan sunyi dan tak ada sesiapa. Biasanya riuh.
Kemudian Masya terfikir, Eh! Ini malam Tahun Baru Cina... mereka semua balik kampung agaknya, tapi siapa yang mandi? Sebaik sahaja otaknya memutarkan persoalan itu. Tiba-tiba sahaja bulu romanya pun merinding.
Kerana perasaan takut mula menghantui, dia cepat-cepat lari naik ke atas menuju ke bilik. Tapi entah kenapa dia rasa macam ada orang kejar dia. Cepat-cepat dia masuk ke bilik dan tutup pintu rapat-rapat.
Shikin yang melihat Masya seperti dikejar hantu itu turut terperanjat. "Kenapa Masya?" Shikin turut berdebar-debar. Kemudian di malam yang sunyi itu, Masya pun tekap telinganya ke pintu lalu dia menangkap bunyi derap kaki orang berjalan. Semakin lama semakin hampir dekat pintu bilik mereka.
"Ada apa Masya?" Shikin sudah takut. Dalam otak Masya pula risau kut ada perompak yang datang. Jadi lebih baik dia lari selamatkan diri. Mula-mula memang Masya fikir ada orang datang nak buat sesuatu yang tak baik.
Selepas itu pintu bilik mereka diketuk, Shikin dah menangis takut. Masya juga turut menangis takut dan risau. Mereka dah tak tahu apa nak buat.
Hanya tinggal mereka berdua sahaja. Ketukan pintu semakin kuat. Siapa yang cuba takut-takutkan mereka ni? Masya tak sedap hati. Dia betul-betul takut. Seluruh tubuhnya meligih.
"Aku takut Masya! Aku takut!" Shikin cemas.
Tidak semena-mena, mereka menghidu bau setanggi menusuk masuk ke seluruh bilik mereka. Aura seram terasa. Bulu roma sedari awal tidak turun. Terus merinding.
Kalau perompak cuba mengapa-apakan mereka sudah tentu pintu itu akan dipecahkan. Boleh jadi ada sesuatu yang lain. Ia mungkin gangguan dari benda lain.
Masya menoleh dan terlihat Shikin diam menunduk. Ketika itu Masya menegurnya, "Shikin..." Rambut Shikin menutupi seluruh wajah. "Shikin..." Panggil Masya tapi Shikin diam berdiri di hadapan Masya.
Tidak semena-mena Shikin memandang laju pada Masya dengan bebola matanya terbuka luas. Nampak jelas kemerahan bersinar. "Shikin!" Masya ketakutan.
Tiba-tiba sahaja Shikin terus mencekik leher Masya dan tertolak rapat sampai ke pintu. Masya hampir lepas kerana kekuatan Shikin sangat luar biasa.
Masya cuba melepaskan dirinya tapi tubuhnya semakin tidak berdaya. Shikin seperti mahu membunuhnya. Shikin merengus seperti haiwan yang sedang kelaparan.
Tangan Masya teraba-raba sesuatu di atas rak tepi pintu itu dan tangannya mencapai pensil dan terus menikam bahu Shikin sekuat hatinya.
Dia terpaksa bertindak begitu kalau tidak dia pasti akan mati tercekik. Maka tertusuk dan terbenam pencil itu ke bahu Shikin.
Tindakannya itu telah mengakibatkan Shikin melepaskan tangannya pada leher Masya. Shikin pun mencabut pensil yang terpacak pada bahu kirinya. Ia telah berlumuran darah.
Tanpa disangka-sangka, pensil yang tadinya ditusuk ke bahu Shikin, kini ditusuk pula ke mata Masya. Masya terus menggelupur kesakitan. Mata katanya ditikam dengan pencil tapi mujurlah ia tidak terlalu dalam.
Shikin langsung tidak menyedari akan perbuatannya itu. Setelah itu Shikin pengsan, manakala Masya mengalami kesakitan yang sangat dahsyat. Dia meraung kesakitan.
Sungguh dia tidak menyangka terpaksa tanggung semua itu setelah menyewa di sini. Dia tidak tahu apa dosanya, kenapa dia dihadapkan dengan semua ini.
Dia mencabut pensil dari matanya. Dia menekup matanya sendiri dan terpaksa menahan kesakitan yang sangat luar biasa. Darah tersembur keluar dari kornea matanya.
Seterusnya dia terpaksa menahannya dengan kain bajunya. Waktu itu dia tidak tahu bagaimana untuk mendapatkan bantuan. Dia terus menjerit meminta tolong.
"Tolong!!!" Dalam masa yang sama dia menahan kesakitan.
Bau setanggi masih lagi ada. Masya terus meminta bantuan, dia pun membuka pintu bilik dan ternampak kelibat seorang amoi berbaju merah merenung ke arahnya. Serta merta Masya pengsan.
Apabila dia sedarkan diri, dia sudah berada di hospital menerima rawatan di samping terpaksa memberikan kerjasama dengan pihak polis menceritakan kejadian yang berlaku.
Walau bagaimanapun pihak polis sukar mempercayai kisah yang terjadi. Tapi yang berlaku antara dia dan Shikin hanya mereka berdua sahaja yang tahu.
Walau bagaimana pun berita disensasikan kerana mereka berebut teman lelaki. Sungguh lucu sekali! Kini Masya menanggung derita buta sebelah mata.
Shikin pula meminta maaf, dia tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku ketika itu. Masing-masing telah dibebaskan dengan jaminan polis.
Menurut Masya, kawan lelaki yang pernah menyewa di rumah itu sebelum mereka mengatakan memang selalu kena usik. Jadi sebab tak tahan mereka pun berpindah.
Disebabkan inginkan semula wang deposit, maka kawan lelaki itu tawarkan rumah berkenaan kepada Masya dan kawan-kawan yang lain.
Tapi kenapa seteruk ini usikan 'hantu amoi' itu? Apa salah Masya? Apa salah kami? Itulah yang Masya kesalkan sehingga ke hari ini yang dia tidak pernah tahu. Walau bagaimanapun dia beranggapan semua ini adalah ujian hidupnya. Takdir yang tertulis.
Ditulis oleh: Rashid Salim.
LIKE DAN FOLLOW PENULIS DI FACEBOOK
0 Komentar untuk "Gadis Tikam Rakan Sebilik"
Catat Ulasan